Dalam titah perasmian sambutan berkenaan di peringkat ne­geri, raja-raja Melayu mengi­ngatkan umat Islam supaya tidak meruntuhkan tembok penyatuan semata-mata kerana kepentingan diri yang sempit sehingga sanggup menyerahkan kuasa serta menggadaikan maruah bangsa dan negara kepada pihak lain.

Di LUMUT, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu Maal Hijrah disambut de­ngan hati serta hasrat mahu menghidupkan kembali tiga prinsip utama yang telah memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan pemerintahan ge­milang oleh Rasulullah di Madinah iaitu jiwa merdeka, budaya syura dan semangat jihad yang berakarkan iman dan takwa.

Titah baginda, teras jiwa mer­deka bukan sahaja membebaskan roh, minda serta penghambaan kepada manusia lain dan poli­teisme, malah membolehkan umat Islam mengabdikan diri hanya kepada Allah dengan mela­kukan amar maaruf dan menjauhi kemungkaran.

‘‘Islam berkembang dengan minda yang cerdas lagi cergas dan fikiran yang luas lagi terbuka. Kejayaan gemilang negara Islam Madinah berlaku melalui budaya syura iaitu budaya perundingan dan konsultasi yang memberi pertimbangan kepada kepelbagaian pandangan berbeza serta budaya serta bersedia menerima teguran dan kritikan,’’ titah baginda dalam sambutan yang berlangsung di Dewan Shariff, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Di KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam supaya sentiasa mencari titik persefahaman dan berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang kuat dari segala aspek supaya kesejahteraan dan kemakmuran negara dipertingkatkan.

Titah baginda, kehadiran tahun baharu hijrah merupakan titik tolak kepada peningkatan amal kebaikan, justeru umat Islam diminta menanamkan niat ikhlas dalam setiap amal perbuatan serta berpegang teguh kepada tuntutan Allah.

Titah baginda dibacakan adinda, Tengku Sri Temenggung Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, umat Islam yang menjiwai kesatuan ummah adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka, berbaik sangka dan saling menghormati antara satu sama lain atas dasar persaudaraan tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit atau fahaman politik.

‘‘Sedarlah bahawa kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air berdaulat ini untuk didiami. Oleh itu, janganlah ada dalam kalangan kita yang mementingkan diri,” titah baginda dalam sambutan yang berlangsung di Dewan Seri Negeri di sini.