Dalam masa sama, baginda turut menasihatkan para pelajar ini supaya

mempunyai strategi untuk berjaya di dalam pelajaran termasuklah memberi tumpuan khusus semasa di dalam kelas.

“Selain itu, mereka juga perlu membuat jadual ulang kaji pelajaran, mengimbangi masa di antara pelajaran, aktiviti kokurikulum, sukan dan riadah.

“Para pelajar juga jangan malu untuk bertanya kepada guru jika tidak jelas atau memahami sesuatu permasalahan berkaitan mata pelajaran selain rajin membuat nota ringkas bagi setiap mata pelajaran,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Majlis Jalinan Syawal Kasih Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Menyantuni Anak Yatim Negeri Perlis Tahun 2018 di Ombak Villa Resort, Kuala Melaka, Pulau Langkawi semalam.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat ialah anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba tetamu diraja itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Felina Mustapha Kamal.

Seramai 171 orang anak yatim daripada tujuh buah rumah amal di Perlis mengambil bahagian dalam program itu, pada tahun ini.

Sementara itu, baginda turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan penaja yang menjayakan program tersebut seperti MK Land Holdings Berhad; Ombak Villa Langkawi; Unic Group of Companies; Langkawi Wildlife Park; Langkawi Auto Express; Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), McDonald's Malaysia, dan QSR Brand (M) Holdings Sdn. Bhd; Panorama Langkawi dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.- UTUSAN ONLINE