Hal demikian kerana menurut Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, hakikatnya situasi sebenar masih berada dalam kawalan menerusi operasi berterusan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasa.

Jelas Lam Thye, walaupun nasihat perjalanan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan AS mengenai potensi berlakunya penculikan atau kes tebusan di kawasan tertentu terutamanya di bahagian Timur Sabah, perkara berkenaan turut menjejaskan keyakinan pelancong untuk datang ke Malaysia.

“Dilaporkan ketibaan pelancong di Sabah meningkat sebanyak 5.5 peratus mencecah 3.87 juta orang tahun lepas malah Negeri di Bawah Bayu itu turut menduduki senarai lima terbaik bagi negeri yang kerap dikunjungi di Malaysia tahun lalu manakala Kota Kinabalu berada di kedudukan kesembilan dalam senarai destinasi pilihan pelancong Asia semasa Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Malaysia juga terus menjadi pilihan pelancong AS apabila mencatatkan peningkatan 27.9 peratus menjadikan jumlah keseluruhan mencapai 253,384 orang tahun lalu. Malah, polis juga memberi jaminan bahawa keadaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) terkawal kerana operasi berterusan yang dijalankan bagi membendung kegiatan militan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

AS telah meletakkan Malaysia dalam Indikator K iaitu menunjukkan kebimbangan Kerajaan AS terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di bahagian timur Sabah.

Indikator itu diletakkan dalam nasihat perjalanan negara itu yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS pada 9 April lalu. - UTUSAN ONLINE