Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah berkata, peniaga di pasar kebanyakannya memilih untuk menjual barangan daripada petani atau pekebun tempatan kerana jaminan keselamatan produk tersebut.

“Pelanggan tentunya memilih barangan yang lebih murah jika terdapat jurang besar antara harga cili di pasar raya dan peniaga walaupun produk tempatan mematuhi piawaian tertentu.

“Hal ini seterusnya menyebabkan peniaga cenderung menjual produk import dan mengakibatkan pendapatan pengusaha cili tempatan terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pe­ngusaha cili di Negeri Sembilan mengakui cili yang sedia ada di negara ini tidak dapat memenuhi kehendak pasaran dan jumlahnya terlalu sedikit untuk dibawa ke seluruh negeri.

“Pengusaha cili tempatan kebanyakannya bergantung kepada musim. Kami juga mempunyai tanah yang terhad menyebabkan cili itu tidak boleh ditanam secara berperingkat. Ini mengehadkan pengeluaran cili.

“Kami juga menanggung kerugian besar kerana terpaksa menjual cili tempatan pada harga paling rendah dan ada antara pengusaha terpaksa melupakan keuntungan kerana persaingan harga dengan cili import,” ujar­nya.

Tambahnya, satu inisiatif perlu dilakukan menggunakan tanah kosong milik kerajaan di seluruh negeri untuk tanaman cili dan tidak mengharapkan barangan import semata-mata.