Mirsudiar yang ketakutan dikatakan menjerit selepas mendengar bunyi helikopter di kawasan itu kira-kira dua minggu selepas mereka berada dalam hutan.

Ketika itu, semua lima rakannya Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, dikatakan masih hidup, tetapi keletihan yang melampau dan kelaparan.

Bapa saudara Mirsudiar, Akek Bahir, 46, berkata, anak saudaranya memberitahu, dia dan rakan-rakan lain ada terdengar bunyi helikopter yang melalui kawasan tersebut ketika mereka sedang berjalan-jalan di kawasan sekitar, tetapi dalam keadaan yang amat lemah.

“Mirsudiar dan rakan-rakan lain yang ketakutan mendengar bunyi helikopter itu kemudian menjerit dan mencari kawasan perlindungan di dalam akar-akar pokok berhampiran,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meluangkan masa melawat serta menyampaikan sumbangan kepada Mirsudiar dan Norieen Yaakob,10,

Mirsudiar dan Norieen yang hilang bersama lima rakan dari SK Tohoi selama 47 hari ditemukan oleh anggota penyelamat kira-kira 3.3 kilometer daripada sekolah tersebut.

Tambah Akek, pasukan penyelamat mula menggunakan helikopter untuk operasi mencari bermula pada hari ke-12 kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Pada masa sama, katanya, pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota tentera, penduduk kampung termasuk dia sendiri telah melakukan operasi mencari di kawasan itu.

“Anak saudara saya serta rakan-rakan lain mungkin dapat ditemukan sekiranya kami mendengar jerit­an mereka,” katanya.

Sementara itu, ibu Mirsudiar, Rosita Baher, 40, berkata, keadaan anaknya semakin pulih dan mula bercakap berbanding sebelum ini, hanya mendiamkan diri.

Rozita berkata, Mirsudiar juga semakin berselera makan dan meminta untuk dibawa berjalan di kawasan sekitar hospital ini.

“Mirsudiar juga sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman berjumpa nenek dan adik-beradik yang lain,” katanya.