Menurut Timbalan Ketua Setia­usaha, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib, walau bagaimanapun terdapat segelintir gelandangan tegar yang tidak mahu berubah walaupun telah dibantu dengan pelbagai cara.

“Mereka ini tidak ramai, namun gelandangan yang dikate­gorikan sebagai tegar enggan berubah dan ini berkemungkinan mereka sudah terlalu lama hidup sedemikian.

“Kita sudah bantu hampir 942 gelandangan iaitu sekitar 45 peratus daripada jumlah ke­seluruhan (2017-2018), namun dianggarkan sekitar 100 hingga 200 gelandangan tegar tetap kembali ke jalanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, pelbagai alasan diberikan kelompok tegar itu antaranya tidak selesa bekerja, ditipu oleh majikan, lebih bebas hidup bergelandangan dan pelbagai lagi.

“Untuk golongan sebegini sememang­nya kita tidak dapat berbuat apa-apa, malah kita sendiri tia­da kuasa atau akta khas untuk menahan atau mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka sebenarnya,” katanya.

Bermula awal 2018 hingga kini, hampir 10 operasi bersepadu dilaksanakan de­ngan kerjasama agensi-agensi berkaitan yang menyaksikan 672 gelandangan yang terdiri daripada warga tempatan dewasa dan kanak-kanak selain warga asing dikumpulkan.

Ditanya adakah sasaran sifar gelandangan dapat dicapai menjelang 2020, M. Noor Azman berkata, misi itu agak sukar untuk dijayakan.