Jamil Khir Baharom

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kekhilafan dalam memutuskan perkara itu kelak bukan hanya mendatangkan kesan ke atas mereka yang terlibat tetapi umat Islam keseluruhannya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap usaha Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan berjalan lancar.

“Walaupun di peringkat Mah­kamah Tinggi telah memutuskan bahawa hal ini sudah ada pandangan dari segi agama, fatwa dan sebagainya, tetapi Mahkamah Ra­yuan menentukan sebaliknya kerana ia melihat tentang tumbesaran anak itu dari sudut psikologi.

“Tetapi kita nak perkara ini di­lihat bukan sahaja dari satu sudut iaitu tidak hanya melibatkan seorang yang ingin didaftarkan namanya bin atau binti kepada bapa bio­logi walaupun tanpa perkahwinan,” kata­nya.

Beliau berkata demikian selepas me­lan­carkan program D’Guar Food Truck anjuran Majlis Ama­nah Rakyat (Mara) Kedah di Guar Chempedak di sini hari ini.

Tambah beliau, se­mua pihak wajar mematuhi hukum syarak dan fatwa yang ditetapkan bahawa anak yang lahir kurang enam bulan dua lahzah mengikut bulan Qhamariah daripada tarikh tamkin, dia tidak boleh dibinkan nama ba­panya.

“Ini kerana ada faktor keagamaan syarak yang lebih besar iaitu soal pewarisan, hubungan, aurat, soal batal wuduk dan sebagainya.

“Kalau ini tidak dipastikan melalui nasab kita akan bercelaru dikemudian hari... setelah anak itu besar, malah di waktu kecil pun jika berlaku kematian kepada bapa dibinkan sedangkan pewarisan itu menyentuh hak orang lain.

“Jadi rayuan sudah dibuat dan kita harap mahkamah memutuskan berdasarkan hukum syarak kerana ia berkaitan umat Islam dan anak orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Ra­yuan yang memutuskan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan ba­panya.

Akhbar hari ini me­laporkan, JPN mengekalkan penggunaan nama Abdullah sebagai bin atau binti anak tidak sah taraf, sementara me­nunggu keputusan selanjutnya oleh Mahkamah Persekutuan.