Beliau berusia 74 tahun.

Semasa mengesahkan perkara itu, saudara terdekat beliau, Datuk Yahya Hamid berkata, Allahyarham meninggal dunia di rumah anak lelakinya di Ampang Jaya dekat Kuala Lumpur.

NAPSIAH OMAR
NAPSIAH OMAR

“Jenazah masih berada di Ampang Jaya dan dijangka dibawa pulang ke Kuala Pilah malam ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau memberitahu bahawa jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Melang, Kuala Pilah sebelum solat zohor, esok.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan.

Napsiah pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1982; Menteri Perusahaan Awam (1987); Menteri Perpa­duan Negara dan Pembangunan Sosial (1990) serta Anggota Maj­lis Eksekutif Negeri Sembilan (1995-1999).

Beliau menyertai UMNO cawa­ngan Kuala Pilah pada 1972 sebelum menjadi Anggota Parlimen Kuala Pilah selama tiga penggal sejak 1982.

Allahyarham kemudian menjadi Anggota Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Pilah selama sepe­nggal selepas menewaskan Ruslan Kassim daripada PKR de­ngan majori­ti 2,818 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan Allahyarham Napsiah sebagai srikandi tulen negara yang tiada tolok bandingnya.

Menurut beliau, pemergian tokoh wanita yang amat disegani melalui kepemimpinan itu dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat khususnya ahli wanita UMNO.

“Legasi perpaduan yang beliau wariskan selama ini menjadi kekuatan 1.4 juta ahli Wanita UMNO. Sebagai seorang ikon Wanita UMNO yang amat berpe­ngalaman, pemergian beliau kini meninggalkan satu ruang kosong yang sukar diisi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizat berkata, secara peri­badi beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan seorang kakak yang cukup dihormati dan disegani.

“Allahyarham adalah tempat saya mendapatkan nasihat, menjadi sumber rujukan dan inspirasi untuk meneruskan langkah terutama dalam hal-hal berkaitan perjuangan UMNO.

“Takziah buat keluarga Allahyarham, Insya-Allah, 191 Bahagian Wanita UMNO di seluruh negara akan bersama mengadakan majlis tahlil khusus untuk Allahyarham semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.