Ketua Pengarah lembaga itu, Sahdan Salim berkata, jumlah pengeluaran itu termasuk sebanyak 308,000 tan metrik nanas jenis MD2 di kawasan seluas 5,500 hektar diperlukan bagi memenuhi keperluan pasaran pada masa itu.

Menurut beliau, pengeluaran pelbagai jenis nanas pada tahun lepas adalah sebanyak 452,019 tan metrik melibatkan kawasan seluas 14,700 hektar.

“Ketika ini, pengeluaran nanas masih belum dapat meme­nuhi keperluan pasaran. Justeru, LPNM sedang mempergiatkan program bagi menambah jumlah peladang nanas terutama dalam kalangan golongan muda.

“Pengeluaran nanas jenis MD2 sebanyak 58,800 tan metrik pada tahun lepas masih tidak dapat memenuhi permintaan pasaran. Penanaman nanas terutama jenis MD2 yang harganya mencecah RM10 sebiji mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya selepas majlis pra-pelancaran 60 tahun LPNM yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor dekat sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohd. dan Pengerusi LPNM, Datuk Shamsolbari Jamali.

Sahdan berkata, pihak­nya ketika ini masih tidak dapat memenuhi banyak permintaan untuk mengeksport buah tersebut terutama dari luar negara.

“China meminta kita mengeksport 10 kontena buah tersebut namun kita tidak dapat meme­nuhi permintaan itu ketika ini,’ ujarnya.

Beliau berkata, selain kekura­ngan peladang, ma­salah yang di­hadapi adalah untuk mendapatkan benih buah nanas yang baik.

“Jadi kita memperkenalkan sistem pawah kepada peladang untuk menyediakan benih selepas memperoleh benih daripada LPNM. Di bawah sistem ini, jika mereka menerima sepokok benih mereka perlu kembalikan dua pokok benih,” katanya.