Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, jasa Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu akan dikenang dalam lipatan sejarah kebombaan negara.

Menurutnya, sebagai tanda penghormatan, bendera bomba akan dikibarkan separuh tiang di semua premis JBPM selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis.

“Buat keluarga Muhammad Adib, takziah diucapkan daripada seluruh warga JBPM. Semoga diberi kekuatan dalam menempuh ketentuan ini.

“Bersama-sama kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Adib meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara di sini.

Allahyarham mengalami kecederan parah selepas dipercayai dipukul kumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, dekat sini ketika ingin memadamkan kebakaran sebuah kereta pada 27 November lalu. - UTUSAN ONLINE