Dia yang menetap di bandar itu kini berlindung di rumah seorang kenalan warga tempatan yang sudi menumpangkannya sementara menunggu keadaan reda.

Ketika ditanya perasaannya ketika ini, dia mengakui masih ketakutan dan tidak mahu keluar ke mana-mana buat masa ini.

“Saya nak pandang tingkap pun takut. Kalau boleh tak nak tengok sesiapa yang tidak dikenali ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

New Zealand dikejutkan dengan kejadian tembakan rambang menyasarkan jemaah sebuah masjid di Christchurch dan menyiarkannya secara langsung dalam laman sosial hari ini.

Menurut Liyana, keadaan terkawal di Christchurch ketika ini dengan kawalan ketat polis.

Walau bagaimanapun, dia masih berasa risau, lebih-lebih lagi dengan penampilannya yang bertudung menjadikannya mudah dikenal pasti sebagai seorang Muslim.

Kejadian itu sangat mengejutkan kerana menurutnya, komuniti di Christchurch sangat ramah dan komuniti Muslim diterima baik di sana.

“Mereka baik malah rakan-rakan sepejabat juga banyak membantu melindungi saya ketika mula-mula mendapat berita kejadian itu berlaku.

“Pejabat saya memang dekat dengan tempat kejadian memandangkan bandar Christchurch ini kecil. Selepas kejadian mula serius, saya tidak berani keluar dari pejabat sehinggalah pengurus saya menawarkan diri untuk menghantar saya ke rumah rakan,” katanya.

Bercakap mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dengan serangan tersebut, Rahimi Ahmad, 39, Liyana berkata, lelaki itu memang dikenali dalam kalangan komuniti Malaysia di Christchurch.

Dia mengakui berasa sedih mendengar berita bahawa Rahimi menjadi mangsa serangan tersebut namun lega selepas mendapati lelaki itu terselamat.

Liyana sudah tiga tahun menetap di Christchurch dan kini bekerja sebagai Penasihat Cukai di sebuah syarikat antarabangsa. - UTUSAN ONLINE