Ini susulan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil masa lama menjalankan proses penggeledahan di kediaman bekas Perdana Menteri itu selepas beliau pulang menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung, di sini semalam.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, penggeledahan berterusan melebihi 18 jam yang dilakukan hampir 60 anggota PDRM itu memperlihatkan seakan tiada belas kasihan terhadap Najib yang telah menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Malah, kekhuatiran saya bertambah mendengar kenyataan peguam Najib yang menyatakan bahawa pihak PDRM terus menggeledah setiap bahagian rumah beliau walaupun dikatakan akan berhenti pada pukul 5 pagi. Saya tidak mempersoalkan hak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut prosedur ditetapkan serta konsisten dengan undang-undang negara.

“Saya berharap segala tindakan itu juga mengambil kira sehingga hari ini, bekas Perdana Menteri itu sudah banyak berjasa kepada negara serta menjadi wakil rakyat sejak beliau berumur 23 tahun.

“Belum lagi didakwa di mahkamah, lantas wajar diberikan layanan adil sejajar dengan prinsip innocent until proven guilty dan saya yakin turut didukung oleh Pakatan Harapan yang memperjuangkan demokrasi selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Shahril berharap pihak berkuasa menjalankan penyiasatan secara profesional dan adil berdasarkan lunas undang-undang negara dan bertindak secara bebas dan bukan di bawah telunjuk atau tekanan sesiapa.

Selain itu, beliau turut menghargai tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menzahirkan rasa tidak puas hati berkenaan insiden tersebut.

“Saya berasa lega kerana dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan ini sekurang-kurangnya ada pemimpin yang mahu memaparkan sifat kesederhanaan, mencerminkan budaya Malaysia yang penuh budi pekerti,” katanya. - UTUSAN ONLINE