Menurut Perdana Menteri, beliau difahamkan ramai pesakit buah pinggang yang perlu menunggu lama sebelum giliran mereka untuk mendapatkan rawatan hemodialisis di hospital-hospital kerajaan.

“Isu ini timbul disebabkan terdapat lebih 2.5 juta pesakit buah pinggang di Malaysia dan ini membawa kepada permintaan tinggi di hospital-hospital kerajaan yang memberikan rawatan dan perkhidmatan berkualiti pada kadar yang amat rendah, kira-kira 22 kali lebih rendah berbanding hospital-hospital swasta,” ujarnya.

Perdana Menteri dalam akaun Facebook beliau malam ini berkata, kerajaan sedar bilangan mesin hemodialisis yang sedia ada di Hospital Sungai Buloh tidak mencukupi untuk menampung keperluan pesakit-pesakit buah pinggang.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan penambahan beberapa unit mesin hemodialisis yang baharu untuk dihantar ke Hospital Sungai Buloh dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, beliau yakin langkah itu akan membawa manfaat kepada pesakit-pesakit yang memerlukannya.