Perdana Menteri berkata, penyediaan gajet berkenaan adalah satu langkah yang begitu besar kesannya dan beliau yakin proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan melonjak kepada tahap yang lebih tinggi selain membolehkan konsep pembelajaran berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Kata beliau, hal ini penting kerana melaluinya para guru dapat menyampaikan kandungan pendidikan dengan nilai yang lebih krea­tif selari dengan tahap pemikiran golongan pelajar yang disebut sebagai kelompok digital native.

“Kita tidak mahu murid lebih bermaklumat daripada guru, ini juga satu cabaran kepada kita kerana mereka terlalu pantas mendapat akses kepada Internet.

“Dengan adanya tabet ini, ia adalah revolusi kecil dalam bidang pendidikan negara, mudah-mudahan ini menjadi langkah yang sangat bermakna,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Tablet Berserta Perisian Tutor dan E-Paper Utusan Malaysia Kepada Para Guru Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Yang hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad; Ke­tua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus.

Turut serta Pengerusi Kumpulan Utusan, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Perdana Menteri berkata, pemberian tablet berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di peringkat negeri dan perisian itu bakal diterima semua guru di sekolah rendah, menengah serta yang bertugas di Pejabat Pelajaran daerah dan negeri.

“Lepas Sarawak, kita perluaskan ke negeri lain dalam masa tertentu secara berperingkat, semua guru menengah dan sekolah rendah di seluruh negara akan dibekalkan dengan tablet ini,” katanya.