Menurut Perdana Menteri, para pelajar yang menggunakan Kad Siswa 1Malaysia akan mendapat diskaun 30 peratus untuk perkhid­matan ERL Transit dan akan turut diberikan kepada orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Bagi pengguna awam sektor Putrajaya katanya yang juga Presiden UMNO, ERL telah bersetuju mengurangkan kenaikan harga pas bulanan manakala KTMB pula diarah memberi diskaun 50 peratus kepada pelajar berusia tujuh hingga 18 tahun termasuk pelajar universiti dengan hanya menunjukkan kad pelajar.

“Saya dengar rintihan rakyat, saya dengar kehendak para perwakilan supaya kerajaan lebih prihatin de­ngan masalah kos sara hidup rakyat.

“Sebab itu kita akan buat beberapa perkara, saya nak sebut di sini perkara-perkara yang dalam kemampuan kita antaranya syarikat ERL yang disebut-sebut oleh rakyat sebab mereka marah tambang akan naik daripada RM35 kepada RM55,” ujarnya.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Najib berkata, kenaikan itu memang tinggi tetapi kerajaan tidak ada pilihan kerana ia merupakan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kerajaan pada tahun 1997.

Menurutnya, perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi, YTL itu menetapkan kadar tambang ERL akan dinaikkan setiap lima tahun.

Namun katanya, apabila beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan tidak benarkan kenaikan itu sehingga tempoh­nya tertangguh selama 14 tahun.

“14 tahun tak naik tetapi pampasannya RM2.9 bilion. Kalau tak naik, parah kita,” ujarnya.

Beliau berkata, perjanjian yang melibatkan tempoh konsesi panjang tersebut merupakan satu masalah legasi yang ditanggungnya daripada kepimpinan terdahulu.

Mengenai isu ekonomi yang di­timbulkan oleh perwakilan pada perhimpunan tersebut, Najib yang juga Perdana Menteri berkata, ia berkait rapat dengan faktor dalaman dan luar­an yang tidak menentu termasuk penurunan harga minyak dunia dan ekonomi China yang menguncup.

Namun katanya, Malaysia masih boleh berbangga kerana ekonomi­nya dijangka kekal berkembang lima peratus pada tahun ini, antara yang tertinggi di dunia.

“Banyak lagi kita nak buat tetapi realitinya kita ada kekangan. Apabila harga minyak jatuh, tahun depan lebih RM30 bilion hasil kerajaan berkurangan,” ujarnya.

Mengenai kenaikan harga barang, Najib berkata, ia perlu dita­ngani dengan kenaikan gaji yang merupakan inisiatif yang sedang diambil oleh kerajaan terutama dalam mencapai status negara maju.

“Sebab itulah kerajaan naikkan gaji minimum, apabila gaji minimum naik, yang pertengahan pun akan naik juga.

“Saya juga minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin tingkatkan pemeriksaan, jangan bagi naik harga barang sewenang-wenangnya dan tambahkan lagi penguatkuasaan di bawah,” katanya.

Menyentuh isu ekonomi bumiputera, Najib berkata, agenda bumiputera adalah agenda nasional dan beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada setiap bulan, sememangnya memikirkan pelbagai cara untuk membantu bumiputera.

“Bumiputera dalam bidang perniagaan masih lemah. Jadi ia akan memakan masa, tetapi yakinlah bahawa kita amat komited untuk terus membantu kejayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi,” tambahnya.