Najib berkata, jumlah dana yang ditambah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan dana AHB kini adalah sebanyak empat bilion unit.

"Enam tahun yang lepas iaitu pada 2010, saya sendiri telah merasmikan dana asal AHB sebanyak satu bilion unit dan beberapa tahun kemudian, saiz tersebut telah ditingkatkan sebanyak dua kali pada tahun 2012 dan 2013 lalu menjadikan jumlah keseluruhan dana AHB pada masa itu sebanyak dua bilion unit.

"Tahun lepas pula, sebanyak 1.5 bilion unit lagi dilancarkan malah, saya difahamkan unit-unit ini telah habis dilanggan dalam tempoh kurang dari setahun.

"Dengan sambutan yang amat menggalakkan terhadap unit-unit amanah ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa saiz dana AHB ditingkatkan sebanyak 500 juta unit lagi untuk menjadikan saiz dana AHB meningkat kepada empat bilion unit atau bersamaan RM4 bilion," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran unit tambahan AHB di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad, Tan Sri Md Nor Md Yusof. - UTUSAN ONLINE