Video ihsan twitter/NajibRazak

Sambil mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada masyarakat kaum India beragama Hindu di negara ini, Perdana Menteri berkata, perayaan itu juga perlu diraikan seiring dengan kecemerlangan yang dikecapi negara saban hari.

Katanya, pencapaian Malaysia hari ini sudah cukup meletakkan negara pada satu tahap yang membanggakan.

“Walaupun semakin hari kita semakin pantas mendaki puncak kemodenan dengan pelbagai kemudahan yang tersedia, namun keunikan budaya itu kekal kita pelihara.

“Kini Deepavali kembali menyerikan suasana. Pelita dinyalakan dan kolum mencerminkan suasana yang meriah dalam kedamaian. Seperti sifat cahaya yang menerangi, marilah kita bersama-sama menyemarakkan lagi semangat keharmonian seiring dengan kecemerlangan yang dikecapi saban hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video khas sempena sambutan Deepavali yang dimuat naik di akaun Facebook dan Twitter miliknya, hari ini.

Dalam rakaman sama, Najib berharap kemeriahan Deepavali pada tahun ini akan menjadi kenangan kepada semua masyarakat.

“Semoga kemeriahan sambutan Deepavali tahun ini menjadi salah satu kenangan indah buat kita semua sebagai sebuah keluarga. Selamat menyambut Deepavali, Deepavali Valtukal,” katanya. - UTUSAN ONLINE