Abdullah Ahmad Badawi

Dalam satu kenyataan, Abdullah berkata, hasil siasatan rapi dan terperinci Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu semasa beliau menjadi perdana menteri, mengesahkan Najib tidak terlibat langsung dalam kes itu.

“Antara perkara yang dilaporkan kepada saya semasa saya menjawat jawatan Perdana Menteri adalah hasil siasatan kes pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Hasil siasatan rapi dan terperinci yang dibuat oleh PDRM dalam kes yang disampaikan kepada saya pada waktu itu mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak terlibat langsung dalam kes tersebut,” katanya.

Kenyataan dua perenggan itu dikeluarkan pejabat Abdullah kepada agensi berita Bernama di Putrajaya.

Sementara itu di Kuching, wartawan Utusan Malaysia, Angelina Sinyang melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menyiasat semula kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaa­ribuu sekiranya ada pihak tampil membuat laporan bersama bukti baharu yang berasas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, kes tersebut telah selesai disiasat polis sebelum ini dan mahkamah juga sudah menjatuhkan hukuman terhadap Sirul Azhar Umar dan Azila Hadri yang didakwa terlibat dalam pembunuhan itu.

“Bagi PDRM, kita telah melakukan siasatan lengkap dan tiada lagi proses yang tertinggal sebelum ini. Namun, kalau ada bukti-bukti baharu, tidak tahu dari mana datang, pihak yang mempunyai maklumat tersebut boleh membuat laporan.

“Kita tiada masalah untuk menerima, melihat dan menyiasat laporan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat bersama Ketua Polis Daerah (KPD) dan pegawai kanan polis di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.