Bekas Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk melakukan kerjasama tersebut dengan ahli-ahli Parlimen Pas.

“Kalau ada pihak lain, saya tidak tahu kerana bagi pihak saya tiada arahan meminta UMNO ‘memancing’ wakil rakyat PH,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendedahkan terdapat cubaan ‘di sebalik tirai’ beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan secara rasmi enam bulan lalu.

Beliau berkata, terdapat cubaan daripada pemimpin UMNO dan Pas untuk menarik ahli-ahli Parlimen Melayu-Islam daripada PH bagi membentuk kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendedahan Perdana Menteri itu dilihat sebagai pandangan peribadi dan usaha untuk mengalihkan perhatian masyarakat terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Pas tidak pernah mengadakan sebarang muafakat dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) sebelum PRU-14.

“Kita tiada sebarang maklumat pun mengenai perkara itu malah saya rasa isu ini tiada sebarang kepentingan pun kerana benda sudah selesai,” katanya. - UTUSAN ONLINE.