Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, berbanding Najib, bapanya merupakan tahanan politik yang ditindas, namun, dibantu oleh suara rakyat yang cuba menakut-nakutkan kepimpinan ketika itu dalam usaha untuk mendapatkan keadilan.


Katanya, disebabkan itu, beliau serta para penyokong Anwar yang lain bekerja keras untuk membangunkan parti mereka iaitu PKR serta melancarkan gerakan menuntut pembaharuan agar perkara yang sama tidak lagi berulang.


“Jadi, kalau nak tanya saya, saya tidak fikir anda (wartawan) boleh mencari persamaan dalam hal ini.


“Fokus saya ialah untuk menentang kezaliman dan saya harap tidak ada siapa lagi yang akan berdepan pengalaman seperti yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar (Ibrahim) serta beberapa lagi individu lain yang

tidak bersetuju dengan sistem serta kerajaan sedia ada agar mengikut lunas undang-undang (dalam memprotes),” katanya.


Nurul Izzah ditemui selepas sesi ceramah ‘Kalis Masa Depan: Sebuah Amanat’ di Safira Country Club, Seberang Jaya, di sini, malam tadi.


Najib ditahan di pekarangan pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram di Menara KPJ,Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam dan berdepan 21 pertuduhan iaitu sembilan pertuduhan melibatkan

penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan pengunaan wang haram manakala tujuh lagi pemindahan wang haram ke entiti lain.


Pada masa yang sama, bekas Presiden UMNO itu turut berdepan empat pertuduhan lain iaitu menyalahgunakan kedudukannya ketika menjadi orang nombor satu negara sebelum ini.


Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM3.5 juta dengan dua orang penjamin.


Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah yang juga calon Naib Presiden PKR mengakui kewujudan ‘kem’ pada pemilihan parti itu sebagai budaya biasa yang ada pada mana-mana pertandingan merebut jawatan.


Menurut Nurul Izzah, perkara itu tidak menjadi masalah selagi mana tidak berlaku perpecahan yang teruk sehingga menjejaskan parti.-UTUSAN ONLINE