Beliau menterjemahkan prinsip tersebut melalui falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan pada era kepemimpinannya kini.

Menurutnya, beliau mengagumi konsep modal insan Tun Abdullah melalui manhaj hadhari atau Islam Hadhari yang menggariskan 10 prinsip penting se­perti keimanan dan ketakwaan dalam pentadbiran bagi mengecapi kehidupan berkualiti.

“Saya amat menghormati Tun Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah sebagai seorang pemimpin yang cenderung mengangkat martabat Islam dan golongan agamawan, selain mengimbangkan ciri pembinaan tamadun negara selaras pemikiran beliau menerusi kerangka Islam Hadhari.

“Lebih menyentuh hati saya, betapa tingginya nilai kasih sa­yang Pak Lah kepada parti dan negara, sanggup serah tampuk kepimpinan tertinggi UMNO dan jawatan Perdana Menteri kepada saya dengan penuh tertib dan kemuliaan tradisi parti,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis Perasmian Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi ‘Pemerkasaan Modal Insan Memacu Negara Terbilang’, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan.

Najib turut melahirkan penghargaan kepada Abdullah yang sentiasa setia menyokong dan berdiri teguh bersama kerajaan, parti UMNO dan Barisan Nasional.

Menurutnya, Abdullah tidak pernah terlintas untuk mengkhianati parti dan negara tercinta, jauh sekali keluar daripada parti UMNO yang dikasihi.

“Secara peribadi Pak Lah bukan sahaja rakan karib kepada keluarga saya, tetapi beliau tersemat di hati saya sebagai seorang abang, teman rapat dalam susah senang dan insan yang mulia hari yang pernah saya kenali,” katanya.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut mengumumkan dana awalan sebanyak RM5 juta kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi ditubuhkan pada September tahun lalu.

Ia berfungsi sebagai pelaksana penganjuran syarahan Tun Abdullah, menjalankan penyelidikan berkaitan legasi kepemimpinan Tun Abdullah dan pusat rujukan untuk pihak awam bagi legasi kepemimpinan Negarawan Tun Abdullah semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima.