Seorang deejay radio tempatan menjemput Najib ke pentas Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan menanyakan apakah tiga perkataan yang boleh perdana menteri gambarkan mengenai program hari ini.

"Saya berasa teruja, saya berasa semangat dan saya berasa patriotik," katanya diiringi sorokan dan tepukan gemuruh daripada pengunjung khususnya golongan belia.

Para deejay radio tempatan turut mengambil kesempatan memperkenalkan diri, stesen radio yang diwakili serta berswafoto bersama Perdana Menteri.

Najib turut menunjukkan semangat 'sporting' dengan menyebut Negaraku Malaysiaku dalam pelbagai bahasa, antaranya bahasa Tamil, Cina dan Sarawak.

Program Ekspresi Negaraku menjadi platform pertama untuk memacu inisiatif 'Negaraku' yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia.

Pelbagai aktiviti dirangka dari 7 pagi hingga 11 malam bagi menyemarakkan semangat patriotik di kalangan masyarakat melalui program Ekspresi Negaraku itu.

Perdana Menteri turut merasmikan tapak pameran Komuniti Digital yang mengumpul penggiat media sosial yang meluahkan rasa cinta kepada negara menerusi platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter.

Beliau ditemani Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melawat pameran Ekspresi Grafiti Negaraku.

Seramai 60 peserta bergabung tenaga dan melukis 20 papan grafiti menunjukkan semangat jiwa kental dan patriotisme masing-masing kepada negara.

Najib turut singgah di gerai Taman Sinar Harapan, Cheras untuk merasai kopi Vietnam.

Bagi pekerja swasta, Mohd Taufik Arshad, 33, beliau menyifatkan program berunsur patriotik itu mampu menjadi penyuntik semangat kepada rakyat negara ini untuk terus bersama berganding bahu memacu kejayaan negara ini.

"Semangat cintakan negara perlu wujud dalam diri masing-masing, barulah ada rasa menghargai apa yang yang kita kecapi sekarang," kata bapa kepada dua anak itu.

Sawiyah Ahmad Latip pula berpandangan, bahawa program Ekspresi Negaraku itu bukan sahaja berjaya mengumpul pelbagai lapisan masyarakat malah menyerlahkan semangat kesatuan antara pelbagai kaum.

Suri rumah berusia 49 tahun yang hadir bersama suami dan tiga anaknya yang berusia antara 10 hingga 15 tahun itu mahu anak-anaknya menjadi generasi cintakan negara, agama dan bangsa. - BERNAMA