Penganugerahan itu diumumkan semasa penganjuran Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Antara sumbangan Najib adalah kelantangan beliau menolak usaha menjadikan kota suci Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel selain membangkitkan isu penindasan etnik Rohingya di Myanmar.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Perdana Menteri dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa mempertahankan kepentingan umat Islam sehingga dipandang tinggi pelbagai pihak termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Katanya, semangat Najib bukan sahaja terbukti apabila sering bersuara mengenai kepentingan umat, malah menjayakan misi-misi kesukarelawan membantu mangsa bencana tanpa mengira batas agama dan politik

“Mengikut pengalaman saya sendiri, tidak ramai pemimpin dunia (Islam) di luar sana berani menjejak kaki di Gaza, tetapi Perdana Menteri kita berani demi memberi sokongan kepada Palestin.

“Apabila mengadakan lawatan ke Arab Saudi, Najib diberikan la­yanan istimewa oleh kerajaan negara itu sehingga diberikan peluang memasuki makam Nabi Muhammad di Masjid Nabawi, Madinah,” katanya semasa me­nyampaikan ucapan penutupan persidangan tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Pengarah program persidangan, Datuk Abdul Aziz Ismail.

Perasmian pembukaan persidangan anjuran IKIAM itu disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Abdul Azeez yang juga Presiden Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) berkata, program-program yang dijalankan oleh KP1M sendiri merupakan antara cetusan idea Najib seperti misi penghantaran bantuan makanan dan kesihatan kepada etnik Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Tambahnya, minat beberapa negara seperti Indonesia dan Fili­pina untuk mendalami kaedah pengurusan jemaah haji Malaysia oleh Tabung Haji juga merupakan antara bentuk pengiktirafan antarabangsa terhadap kecekapan tadbir urus Perdana Menteri.

Katanya, dua negara berkenaan sedang mengadakan kerjasama dengan Tabung Haji bagi membangunkan institusi pengurusan jemaah masing-masing.

Beliau berkata, Tabung Haji sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengatasi masalah pakej-pakej Umrah yang ditawarkan pada harga murah, namun mempunyai unsur-unsur penipuan.