Katanya, perjanjian yang melibatkan Yayasan Pembangunan Labuan (YPL), Labuan Marine Motorsports Malaysia Limited dan Yin Fu - Labuan Investment Corporation dalam memajukan sukan lumba bot antarabangsa itu akan membantu sektor pelancongan Labuan.

Sukan lumba bot antarabangsa yang dikenali sebagai Labuan Grand Prix of the Sea akan menyaksikan acara tahunan Powerboat P1 World Cup berjalan sekurang-kurangnya lima tahun.

Acara di bawah naungan badan pentadbir dunia sukan air maritim bermotor Union Internationale Motonatique (UIM) bakal menyediakan pemasaran destinasi unik untuk Labuan dengan liputan media antarabangsa.

"Kita sangat bertuah dengan kemunculan P1 Powerboat yang menjadikan Labuan satu-satunya pulau yang memperlihatkan aktiviti sukan laut yang lebih komprehensif lagi.

"Acara Labuan Grand Prix of the Sea ini akan menjadi acara tahunan dengan pertandingan perlumbaan jet ski akan diadakan pada tahun ini diikuti dengan perlumbaan P1 Powerboat pada tahun depan.

Saya boleh membayangkan, Powerboat ini boleh menjadi satu tarikan dengan liputan meluas media antarabangsa dan seterusnya membantu memperkukuhkan jenama baru Labuan sebagai pulau yang terkenal dengan sukan ekstrem," katanya. - BERNAMA