Selepas itu, ia diikuti oleh negara Asia Tenggara lain seperti Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Sejak tarikh itu, katanya dalam blog beliau, ASEAN telah berkembang pesat dan melangkah jauh, bukan sahaja dari segi pencapaian setiap negara secara individu, tetapi pencapaian sebagai sebuah rantau, hinggakan pertubuhan itu digelar sebagai antara himpunan negara serantau paling berjaya di dunia.

Selain keharmonian dan hubungan baik antara negara di rantau ini, katanya, rakyat juga boleh berbangga dengan pengukuhan ekonomi rantau ASEAN.

Sebagai contoh, jelas beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang meningkat ketara sebanyak 76 peratus antara 2010 hingga 2016.

Malah, katanya lagi, KDNK ASEAN pada tahun 2016 sebanyak AS$2.5 trilion meletakkan rantau ini pada kedudukan ekonomi ke-7 terbesar dunia, dan berdasarkan unjuran, pakar-pakar ekonomi dunia yakin bahawa ASEAN mampu melonjak menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2050.

Namun, bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri menegaskan, hubungan dan kerjasama erat antara 10 buah negara ASEAN bukan sahaja perlu terus dikekalkan, tetapi ditingkatkan dan ditambah baik lagi dari semasa ke semasa dan sidang kemuncak itu adalah landasan terbaik bagi mencapai objektif tersebut.

“Saya percaya, selagi mana rantau ini terus kekalkan keeratan dan kerjasama antara negara anggota, selagi itu ASEAN akan terus mampu berkembang lebih maju, lebih berjaya, dan membawa manfaat kepada setiap negara anggota dan rakyatnya,’’ tegas beliau.

Sementara itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada pukul 5.30 petang waktu tempatan.

Ketibaan mereka disambut oleh Penasihat Presiden Filipina bagi Proses Damai, Jesus Dureza, bakal Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose dan Duta Malaysia di Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid.

Turut sama dalam rombongan Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Semasa berada di sini, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama esok pada satu acara yang dianjurkan oleh maj­lis penasihat perniagaan ASEAN selain menghadiri beberapa mesyuarat dan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan beliau dari beberapa negara.

Beliau dan rombongan dija­dualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada hari Ahad. – utusan