Tiba kira-kira pukul 8.40 malam ini, kehadiran Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala dan Pengerusi Eksekutif JL99 Group, Datuk Seri Jeff BK Lee.

Najib kemudiannya menandatangani plak di arca 1Malaysia di taman tersebut sebagai gimik perasmian 99 Wonderland Park yang menjadi taman rekreasi pertama di Kuala Lumpur yang dihiasi oleh lampu-lampu LED pada waktu malam.

Perdana Menteri kemudiannya turut meluangkan masa kira-kira sejam dengan melawat sekitar taman rekreasi tersebut.

99 Wonderland Park dibina di kawasan seluas sembilan hektar yang sebelum ini merupakan sebuah kolam tadahan yang tidak terurus sebelum dinaik taraf oleh pihak pemaju hartanah, JL99 Group.

Pihak JL99 Group membelanjakan kira-kira RM18 juta bagi menaiktaraf kawasan taman landskap serta tasik selain RM200,000 setiap bulan termasuk untuk menampung kos penyediaan makanan burung-burung dan binatang yang menjadi antara daya tarikan utama di taman ini.

Sementara itu, JL99 Group dalam satu kenyataan memberitahu, pembinaan taman rekreasi ini merupakan projek di bawah tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.

"Projek ini merupakan hasil kerjasama erat antara pihak kerajaan dan syarikat swasta yang amat berjaya dan dapat memberi manfaat kepada kesemua penduduk di kawasan sekitar.

"JL99 Group akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan untuk melaksanakan projek seperti ini untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di sekitar kawasan ini," kata kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE