Presiden UMNO itu berkata, sikap bekas pemimpin menyerang parti bukan sahaja bertentangan dengan konsep perjuangan mereka, malah merosakkan parti yang banyak berjasa kepada mereka.

Menurut Perdana Menteri, bekas pemimpin perlu menyokong kepemimpinan baharu supaya jasa-jasa yang ditinggalkan akan terus dihargai dan dikenang.

“Pemimpin sebelum ini pernah berucap dan saya masih ingat lagi katanya iaitu kalau kita tiada jawatan, kita perlu sokong orang baharu sebab apabila kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita, sebab itu kita berjaya. Saya sokong dia, kita semua sokong dia tapi dia sudah lupa sekarang.

“Sebab dalam hidup kita ada putaran roda... satu hari kita akan turun dan bila turun kita sokong pula orang yang naik barulah perjuangan kita kesampaian dan kepemimpinan kita dapat berkat sebab orang akan menghargai dan menilai jasa dan legasi kita.

“Ini barulah konsep kepe­mimpinan...bukan bila kita tak ada jawatan kita nak menjahanamkan, kutuk, lihat parti yang terlalu banyak jasa pada kita tertia­rap. Ini bukan perangai orang yang sayang UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.

Berucap lanjut kata Najib, usaha memajukan negara tidak boleh dilakukan dalam masa sehari dua tetapi menjangkau beberapa ge­nerasi dan akan memerlukan masa yang lebih lama lagi.

“Maka, tugas kita sebagai pe­mimpin adalah untuk menyambung apa yang dilakukan pemi­m­pin terdahulu.

“Selepas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein sambung dan buat nilai tambah. Selepas itu disambung Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kini giliran saya untuk teruskan perjuangan dan tambah nilai... bukan tugas pemimpin UMNO menjahanamkan apa yang telah dibina selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mengakui kepemimpinannya selaku Perdana Menteri kuat dengan adanya sokongan daripada kira-kira tiga juta ahli UMNO selama ini.

Katanya, mandat yang diterima daripada ahli parti selama ini membolehkan beliau melaksanakan transformasi demi kemajuan negara bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat.

“Saya ibarat pohon rendang yang kuat kerana UMNO ada di belakang saya. Sejarah buktikan pemimpin UMNO yang tinggalkan parti akhirnya sedar dia tak kuat. Yang menyebabkan dia kuat adalah ahli UMNO yang berdiri teguh selama ini.

“Saya sedar, saya tidak kuat tetapi saya sedar ahli UMNO yang sentiasa berada di belakang untuk menyokong saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Najib meminta mana-mana pihak termasuk ahli UMNO yang tidak suka kepada pemimpin sedia ada supaya tidak menghancurkan parti keramat orang Melayu itu.

“Parti lebih besar (utama) daripada mana-mana orang termasuk diri saya. Parti ini kita mesti pertahankan selagi ada...selagi itu perjuangan boleh diteruskan.

“Jika UMNO diibaratkan sebagai kapal, jangan tebuk...kalau tidak, kapal akan karam. Jadi, macam mana nak belayar.

“Macam mana dengan orang yang mengharapkan kita (UMNO) membawa mereka belayar ke pulau idaman? Sayanglah pada masa depan negara, pada anak-anak kita yang masih kecil. Generasi TN50 (Transformasi Nasional 2050) yang mengharapkan negara kita hebat dan unggul. Apa jadi kalau tiada UMNO dan Barisan Nasional,” soalnya.