Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Putera Salman menyambut mesra ketibaan Najib di Istana Ghudaibiya di mana Perdana Menteri diberi sambutan rasmi negara, dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Najib juga memeriksa perbarisan kehormat sempena upacara itu.

Putera Salman kemudian meraikan Najib dan anggota delegasi beliau pada majlis jamuan tengah hari.

Terdahulu, Najib menghadiri taklimat tentang pembangunan ekonomi negara Teluk Arab ini di pejabat Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain.

Pada majlis itu, ketua eksekutif lembaga berkenaan, Khalid Al Rumaihi memberi taklimat tentang rancangan Bahrain untuk menarik pelaburan dan mewujudkan persekitaran ekonomi yang kondusif, termasuk ekonomi digital.

Taklimat itu turut dihadiri Hishammuddin.

Dalam pada itu, Permaisuri Bahrain, Sabeeka Ibrahim Al-Khalifa menerima menghadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sewaktu beliau dalam lawatan ke Kompleks Majlis Tertinggi Wanita.

Rosmah, yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke Bahrain, kemudian diberi taklimat tentang kemajuan wanita di negara Teluk ini.

Permaisuri Sabeeka yang menyambut ketibaan Rosmah ke kompleks itu, kemudian mengiringi isteri Perdana Menteri melawat kompleks berkenaan yang ditubuhkan bagi memperkasakan pencapaian wanita.

Semasa menerima menghadap, Permaisuri Sabeeka bertitah baginda amat kagum dengan dasar mesra wanita yang dilaksanakan Malaysia.

Dalam taklimatnya, seorang pegawai majlis itu berkata 37 peratus wanita di Bahrain terlibat dalam proses penggubalan dasar negara, dan 61 peratus wanita Bahrain berpendidikan tinggi. - BERNAMA