Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri UK di 10, Downing Street di sini semalam, Najib berkata, di sam­ping berkongsi nilai dan sejarah, UK sedang memperkukuhkan hubungan baharu dengan saha­bat dan rakan kongsi di seluruh dunia setelah negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

‘‘Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk menambah nilai, lokasinya yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara de­ngan hubungan kukuh kepada du­nia Muslim dan China,’’ kata Perdana Menteri.

‘‘Saya memberi jaminan kepada Perdana Menteri May bahawa Malaysia berbesar hati untuk membincangkan perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara secepat mungkin,’’ katanya.

Najib berkata, UK dan Malaysia juga bersatu mengenai keperluan memerangi keganasan dan ektre­misme ganas.

‘‘Malaysia sedia berkongsi ke­pakaran dan pengalaman dalam memerangi ancaman daripada mereka yang mengkufuri nama Islam dengan secara palsu men­dakwa bahawa kekejaman mereka bersifat Islamik,’’ katanya.

‘‘Perdana Menteri May dan sa­ya juga membincangkan mengenai krisis kemanusiaan yang dihadapi etnik Rohingya di Myanmar dan kami bersetuju komuniti antarabangsa perlu bersama-sama mencari penyelesaian untuk menamatkan krisis itu,’’ katanya.

Dalam sidang akhbar dengan wartawan Malaysia selepas pertemuan itu, Najib berkata, beliau dan May menyentuh beberapa perkara mengenai hubungan dua hala dan isu antarabangsa.

‘‘Pertama saya telah menyatakan bahawa dalam perancangan UK selepas Brexit, Malaysia sedia untuk menimbangkan apa cadangan mereka untuk me­ngukuh­kan lagi hubungan ekonomi khusus­nya meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia.

‘‘Memandangkan mereka akan keluar EU sudah tentu mereka memerlukan satu formula baharu dari segi hubungan ekonomi de­ngan dunia, dan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kekuatan tersendiri dan bo­leh memberi nilai tambah kepada masa depan UK selepas Brexit,’’ katanya.

‘‘Perkara kedua, hubungan tra­disional dengan Malaysia da­lam bidang pertahanan, bidang (usaha) memerangi keganasan ki­ta teruskan, malah kita akan per­kukuh­kan lagi dalam aspek-aspek yang boleh bawa kejayaan untuk membanteras ancaman keganasan dan juga keganasan ekstremisme dan sebagainya.

‘‘Yang ketiga, saya juga telah bangkitkan tentang soal Rohingya yang mana Perdana Menteri UK telah menyatakan pendirian bahawa mereka mahu isu ini dapat diselesaikan dan konflik ini tidak berterusan walaupun ada juga cabaran-cabaran,’’ katanya.

Ditanya tentang perbincang­an beliau dengan May dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Rumah Putih, Najib berkata: ‘‘Ia sangat signifikan kerana kuasa besar mengiktiraf Malaysia dan menerima Malaysia sebagai pelaku global yang signifikan.

‘‘Kita diambil perhatian apa juga pandangan kita diberi pertimbangan yang serius oleh mereka (May dan Trump).

Dalam pada itu, May turut mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri ekoran tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat di Kuala Lumpur, semalam yang mengorbankan 21 orang pelajar dan dua orang warden. – BERNAMA