Perdana Menteri berkata, penambahan itu juga membawa berkat dengan ramai rakyat negara ini dapat menunaikan haji selepas ini.

“Esok saya pergi Riyadh, saya jumpa Raja Salman sekali lagi nak peluk, sebab baginda bagi kuota khas untuk Malaysia. Ramai berkat naik haji, kerana perjuangan siapa? UMNO,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program UMNO Bantu Rakyat di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang dekat sini malam ini.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Presiden UMNO membe­ritahu, kos menunaikan haji ketika ini untuk rakyat Malaysia hanyalah RM9,998 selepas subsidi berjumlah hampir RM10,000 diberikan kerajaan kepada setiap seorang.

“Ini tidak termasuk Program Haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang percuma untuk ketua kampung dan tok imam. Kita tahu bahawa inilah cara kita bela rakyat,” jelas beliau.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu ke­nyataan hari ini memaklumkan, Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Ke­muncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pertahanan merangkap Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain sidang kemuncak tersebut, Perdana Menteri juga akan menghadiri ­majlis pelancaran Pusat Global Me­merangi Ideologi Pelampau di Mu’tamarat, Nasiriyah, Riyadh.