Perdana Menteri di dalam ucapan beliau menyifatkan bahawa perasmian sebuah lagi projek perumahan mampu milik untuk rakyat itu sebagai bukti jelas kerajaan mengambil berat terhadap keperluan rakyat untuk mendapatkan kediaman selesa.

Beliau juga menjelaskan projek perumahan seumpamanya akan terus menjadi salah satu keutamaan kerajaan khususnya untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

“Projek ini libatkan 700 unit kediaman seluas 850 dan 900 kaki persegi dengan harga jualan antara RM280,000 ke RM300,000 seunit yang merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.

“Keluasan seperti ini dengan lokasi strategik sudah tentu harga pasarannya lebih tinggi daripada yang ditawarkan kepada pembeli, barangkali RM500,000 ke RM700,000 harga sebenar. Jadi beruntunglah kepada penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas hari ini.

Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - UTUSAN ONLINE