Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan lebuh raya dan kemudahan pengangkutan awam adalah pembangunan infrastruktur untuk rakyat bagi menjayakan dasar tersebut yang diperkenalkan sewaktu beliau mula memimpin kerajaan pada 2009.

Beliau berkata, MRT Sungai Buloh-Kajang yang mula beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai 2017 itu telah memanfaatkan jutaan pengguna manakala Lebuh Raya Pan Borneo yang dijangka siap seawal 2021, meningkatkan taraf hidup penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Projek seperti MRT memanfaatkan jutaan rakyat, stesen baharu transit aliran ringan (LRT) meningkatkan kecekapan, Lebuh Raya Pan Borneo bebas tol sepanjang 2,302 kilometer dan banyak lagi,” katanya menerusi catatan di laman blog beliau, najibrazak.com hari ini.

Dalam blog beliau, Najib turut berkongsi beberapa lagi sistem pengangkutan awam yang dilancarkan kerajaan seperti MRT2 menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya serta LRT3 yang dijangka siap tahun 2021.

Maklumat lain dikongsi beliau ialah Program Transformasi Industri Teksi (TTIP) bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kebajikan pemandu teksi, Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang dijangka siap pada tahun 2026 serta projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Beberapa projek perhubungan awam itu telah diumumkan menerusi manifesto Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Perdana Menteri turut memuat naik video menceritakan kegembiraan pengguna MRT terhadap kemudahan tersebut dan keterujaan penduduk Sabah dan Sarawak yang menantikan Lebuh Raya Pan Borneo di kawasan mereka.