Perdana Menteri berkata, beliau amat dukacita dan sedih di atas be­rita pemergian Perdana Menteri pertama Singapura yang telah banyak menabur jasa dalam membangunkan negara tersebut.

“Saya menghormati jasa Kuan Yew dalam membangunkan Singa­pura ke arah menjadi sebuah negara maju dan dinamik seperti disaksikan pada hari ini.

“Pencapaian beliau adalah besar dan legasinya terjamin sehingga selamanya. Fikiran dan doa saya bersama Hsien Loong sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Kuan Yew me­ninggal dunia pada pukul 3.18 pagi di Hospital Besar Singapura.

Mendiang yang berusia 91 tahun telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu pada 5 Februari lalu kerana radang paru-paru yang teruk.

Pada masa sama, Najib memberitahu, Malaysia komited untuk memastikan hubungan dengan Singapura berada dalam keadaan aman, stabil dan makmur seperti mana yang dicapai antara kedua-dua negara sejak sekian lama.