Najib meluangkan masa lebih 10 minit pada majlis perkahwinan Yuzry Fazly Ahmad Jamili, 28, dan pasangannya Nor Aniza Abdul Rahman, 28, yang merupakan Ketua Penerangan Puteri UMNO Pekan, serta abangnya Yudie Fazly, 33 bersama pasangannya Nur Ain Mohamad Radzai, 33.

Yuzry yang menjalankan perniagaan sendiri itu bernikah pada 17 Mac lepas, manakala abangnya Yudie pula melangsungkan pernikahan pada 25 Feb lepas.

Najib turut berkesempatan merenjis air mawar dan menabur bunga rampai ke atas kedua-dua pasangan pengantin berkenaan.

Yuzry, ketika ditemui pemberita, berkata, beliau bersama abangnya itu sememangnya berhasrat untuk bersanding sekali dan menjemput perdana menteri ke majlis perkahwinan mereka dua minggu sebelum majlis itu berlangsung.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana sudi meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan mereka meskipun sibuk dengan tuntutan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara.

"Alhamdulillah, saya bersyukur majlis hari ini berjalan dengan lancar dan berasa sungguh bertuah apabila perdana menteri kita sudi datang ke hari berbahagia saya ini," katanya. - BERNAMA