najib
NAJIB TUN RAZAK

Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique berkata, isu berkenaan menjadi antara keutamaan dalam pertemuan Najib-Trump di Oval Office pada 12 September ini yang kemudian disusuli dengan mesyuarat delegasi.

“Antara delegasi anggota Kabinet pentadbiran Trump yang menyertai mesyuarat itu ialah Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Menteri Pertahanan James Mattis, Ketua Staf Jeneral John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara Lt. Jeneral H.R. McMaster dan Penasihat Kanan Jared Kushner,” katanya kepada media Malaysia di sini,

Dalam mesyuarat peringkat delegasi, kata Zulhasnan, kedua-dua pihak juga akan menilai status kerjasama dua hala di dalam pelbagai bidang dan meneroka peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Malaysia berhasrat mengambil peluang ini untuk membincangkan kerjasama di dalam bidang ekonomi, keselamatan, pertahanan, pendidikan, anti keganasan, imigrasi, sains dan teknologi serta hubungan sesama rakyat.

“Isu-isu berkepentingan bersama berkaitan dengan keselamatan serantau dan ancaman global dijangka turut dibangkitkan oleh kedua-dua pemimpin,” jelasnya sambil menambah satu kenyataan bersama akan dikeluarkan pada akhir pertemuan bersejarah ini.

Terdahulu Najib dan delegasi yang dijangka tiba di Washington pada 11 September, akan mengadakan pertemuan dengan pelajar dan diaspora Malaysia dalam majlis makan malam di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Zulhasnan berkata, pada hari kedua lawatan Najib juga akan bertemu dengan pemimpin korporat pada majlis makan malam yang dianjurkan bersama Majlis Perniagaan ASEAN-AS dan Dewan Perdagangan AS.

Pada hari yang sama katanya,  Malaysia Airlines Berhad dan Boeing Aircraft Corporation dijadual menandatangani perjanjian pembelian kapal terbang yang akan menjadi satu lagi bukti pengukuhan hubungan ekonomi Malaysia-AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sejak Januari hingga Julai tahun ini, kita telah menyaksikan peningkatan perdagangan dua hala sebanyak 20.3 peratus berjumlah AS$21.44 bilion. Di dalam tempoh masa, eksport Malaysia ke AS telah meningkat 11.1 peratus manakala import dari AS ke Malaysia melonjak 33.1 peratus.

“Secara kumulatif, pelaburan AS di Malaysia berupa projek yang telah diluluskan sehingga Disember 2016 berjumlah AS$28.57 bilion. Sehingga Ogos tahun ini, pelaburan Malaysia di AS secara kumulatif pula berjumlah AS$14.56 bilion,” jelasnya.

Malaysia, tambah beliau, percaya kedua-dua negara mempunyai potensi yang tinggi dalam kerjasama ekonomi dan melalui lawatan kerja ini, hubungan perdagangan dan pelaburan di antara Malaysia dan AS akan dapat terus diperkukuhkan.

Zulhasnan berkata, pada keesokan harinya, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di sini sebagai sebahagian dari dialog Forum Banyan Tree Leadership.– UTUSAN