Perdana Menteri menerusi laman Twitternya berkata, Allahyarham SM Salim banyak menyumbang jasa dalam bidang seni dan warisan Melayu.

“Moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara kehilangan tokoh seni dan penyiaran yang tersohor berikutan Allahyarham banyak memberi sumbangan terutamanya dalam bidang seni.

“Banyak mesej yang disampaikan oleh beliau terutama dalam lagunya kepada rakyat di luar bandar. Allahyarham juga seorang seniman yang banyak menyumbang kepada kegemilangan lagu-lagu klasik,” katanya selepas menziarah Allahyarham.

SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di rumah anaknya yang terletak di Sering Ukay, Hulu Klang, Selangor.

Legenda muzik Melayu itu sedar beberapa kali meminta air sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Menurut anaknya, Sheikh Shamsudin, 58, kadar denyutan bapanya kembali normal pada sebelah pagi sebelum mula turun sejak petang.

“Masa dia sedar dia hanya meminta air minuman dan bila ditanya kenal saya tak, dia hanya mengangguk.

“Sekitar pukul 5 lebih yang dia mula tercungap-cungap dan kita bisikkan ke telinganya untuk mengucap. Saya nampaklah mulut dia seperti sedang mengulang apa yang saya sebut,” katanya.

Sementara itu, jenazah SM Salim akan dibawa ke Masjid Kampung Baru di sini pada pukul 10.30 pagi esok untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas solat Jumaat.

Sepanjang hampir enam dekad berjuang dalam bidang seni, Allahyarham telah merakamkan beratus lagu Melayu termasuk lagu Tak Seindah Wajah, Selamat Tinggal Bungaku, Seniman dan Apa Dah Jadi.

Allahyarham SM Salim juga pernah tampil secara duet bersama penyanyi terkenal negara antaranya Datuk Yusni Hamid, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Datuk Siti Nurhaliza.

Antara lagu popularnya termasuklah lagu berjudul Satu (bersama Zainal Abidin), Entahkan Jadi Entahkan Tidak (bersama Sheila Majid) dan Pandang Pandang Jeling Jeling (bersama Siti Nurhaliza).