Pensyarah di Fakulti Keusa­hawanan dan Perniagaan, Uni­versiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pelan ini akan mengambil kira perkembangan ekonomi dalam 10 tahun akan datang di wilayah berkenaan.

ABU SOFIAN YAACOB
ABU SOFIAN YAACOB

Katanya, di bawah pelan baharu itu, pekerja-pekerja tetap diperlukan, tetapi meliputi pelbagai bidang atau industri.

“Pelan menaik taraf sistem kereta api ini bukan setakat memberi peluang makan gaji dengan projek berkenaan, tetapi juga menyediakan peluang berniaga daripada projek tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu kira-kira 2,250 rakyat tempatan kehilangan pekerjaan akibat keputusan kerajaan menggantung pembinaan projek itu untuk rundingan semula, Julai lalu.

Kelmarin, Menteri Ke­wa­ngan, Lim Guan Eng mem­berita­hu kerajaan Malaysia masih berunding dengan kerajaan China berkenaan projek ECRL berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan bercanggah oleh beberapa pemimpin kerajaan termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuatkan rakyat kebingungan serta tidak pasti akan nasib projek tersebut.

Sementara itu, Profesor Ka­nan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Dr. Shazali Abu Mansor berkata, mungkin ada projek infrastruktur lain yang lebih baik dari ECRL seperti pembinaan rangkaian lebuh raya yang menghubungkan kesemua bandar-bandar di Pantai Timur.

Katanya, mana-mana projek infrastruktur yang diba­ngunkan akan mendatangkan kebaikan seperti memudahkan pemasaran barangan, tetapi perlu dilihat juga kos yang akan terlibat.

“Dalam menilai sesuatu pro­jek, kita bukan sahaja melihat kebaikan projek itu, tetapi perlu dinilai sama ada faedah ekonomi projek itu mengatasi kos ekonomi yang ditanggung.

“Kehilangan pekerjaan lebih 2,000 rakyat tempatan tidak sepatutnya menjadi isu kerana pekerjaan ini adalah pekerjaan dalam peringkat pelaksana­an dan bukan bersifat tetap,” ujarnya.