Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, itu selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) untuk mewujudkan ‘Universiti Johor’.

“Kita telah merangka beberapa pasukan di peringkat dasar untuk membuat perbincangan tentang hala tuju Universiti Johor ini yang akan dianggotai beberapa pakar dalam bidang pendidikan.

“Buat permulaan, kita akan menaik taraf KYPJ dan Marsah ini menjadi sebuah kolej universiti atau universiti penuh dalam masa tiga tahun akan datang,” katanya selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) , Abdul Razak Mohd. Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Rashid A. Rahman dan Ketua Eksekutif KYPJ, Shahrim Adon.

Aminolhuda berkata, untuk membina sebuah universiti yang baharu memerlukan kos dan tempoh pembinaan yang lama, justeru langkah menaik taraf institusi pendidikan itu adalah langkah terbaik bagi merealisasikan Universiti Johor. - UTUSAN ONLINE