Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek itu dijangka disiapkan dalam masa setahun dan pihaknya sedang meneliti reka bentuk yang sesuai bagi me­ningkatkan pelbagai aspek.

“Langkah menaik taraf itu merupakan penyelesaian jangka masa panjang bagi laluan ini yang merupakan kawasan kerap berlaku kemalangan.

“Rekaan baharu itu bukan sahaja akan mengukuhkan struktur jalan, malah juga meningkatkan aspek keselamatan membabitkan pelebaran jalan, mengurangkan sudut selekoh selain memasang besi penghadang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat laluan yang sebelum ini runtuh akibat hujan lebat berterusan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Pengerusi Pintas Utama Sdn. Bhd., Tan Sri Zainudin Karjan.

Fadillah juga merasmikan pembukaan laluan sementara yang dibina khusus untuk kenderaan berat setelah ia dihadkan kepada kenderaan ringan sahaja bermula 31 Januari lalu.

Kontraktor penyelenggaraan cerun iaitu Pintas Utama Sdn. Bhd. telah menjalankan kerja pembinaan laluan sementara di bawah pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Mersing bagi memastikan kualitinya mengikut piawaian yang ditetapkan.

Tindakan pantas pihak kontraktor menjalankan kerja sebaik sahaja menerima arahan daripada JKR membolehkan laluan sementara dibuka mengikut tarikh yang dijanjikan.

Fadillah seterusnya berkata, pembinaan jalan kekal bakal siap dalam tempoh melebihi enam bulan dari sekarang tertakluk kepada penilaian pakar teknikal serta reka bentuk kaedah pembaikan yang akan ditentukan dalam masa terdekat ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan pembinaan laluan kekal dapat disiapkan lebih awal merujuk kepada prestasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh JKR Daerah Mersing dan Pintas Utama Sdn. Bhd. yang menjalankan kerja menaik taraf tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, kementerian sedang mengkaji pembinaan laluan pintasan baharu sepanjang tujuh kilometer yang menghubungkan Mersing-Kuantan.

“Bagi mengurangkan aliran trafik di bandar Mersing, kerajaan sedang mengkaji pembinaan laluan pintas dengan menaik taraf jalan kampung sedia ada mengikut standard yang diperlukan. Cadangan ini akan dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi bagi meneliti pelaksanaannya,” katanya.