MOHD. SOFI WAHAB
MOHD. SOFI

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Wahab berkata, menerusi kerjasama itu yang akan dimulakan pada awal tahun hadapan, Panorama Melaka akan mengkaji keperluan tambahan aset bas, jadual kekerapan perjalanan selain meneroka laluan baharu.

Beliau berkata, setakat ini perbincangan bagi mengadakan kerjasama strategik itu sudah mencapai 50 peratus di peringkat rundingan dan dijangka akan dimuktamadkan sebelum akhir November ini.

"Sebaik sahaja kata persetujuan dicapai, usaha sama antara Panorama Melaka dan syarikat swasta ini akan dimulakan pada awal tahun depan melibatkan beberapa langkah naik taraf tersebut.

"Panorama Melaka tidak akan sesekali melepaskan pegangan syarikat sebaliknya usaha sama yang diatur itu adalah bagi menambah baik mutu perkhidmatan bas henti-henti dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Melaka Sentral, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Panorama Melaka, Abu Bakar Jani dan Pengurus Besar Melaka Sentral, Mohd. Yusof Abdullah.

Syarikat Panorama Melaka kini memiliki sejumlah 36 buah bas yang menawarkan perkhidmatan henti-henti di 26 laluan di seluruh negeri ini.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan khidmat dua bas percuma 'Melaka Berwibawa' untuk kemudahan rakyat negeri ini mulai 20 Ogos lalu.

Sementara itu, Mohd. Sofi turut memaklumkan kerajaan negeri berpuas hati dengan sambutan yang diterima bagi perkhidmatan bas percuma yang menyediakan laluan antara Melaka Sentral, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Pasar Awam Bachang dan Hospital Melaka. - UTUSAN ONLINE