Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kenaikan SPA itu tidak wajar, apatah lagi ia berlaku dua kali sejak mula diper­kenalkan pada November 2010.

Dalam masa sama, beliau meni­lai kerajaan negeri gagal dalam kem­pen penjimatan dan pengurusan air menerusi pengenalan SPA itu selepas perlu menaikkan kadar­nya melebihi 100 peratus.

“Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang mendenda rakyat dengan men­genakan SPA masih gagal me­nurunkan kadar penggunaan air per kapita harian negeri.

“Ia sebaliknya berjaya memberi pendapatan tambahan dan sete­rusnya keuntungan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya dalam satu ken­ya­taan di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjelaskan, Kerajaan DAP Pulau Pinang akan mengenakan kadar SPA kepada RM1 berbanding 48 sen sebelum ini untuk setiap 1,000 liter air yang digunakan melebihi 35,000 liter air sebulan.

Zainal Abi­din turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri turut menaikkan tarif air domestik bagi negeri ini iaitu sebanyak 16.7 peratus pada 2015.

Katanya, kenaikan itu berlaku walaupun Kerajaan DAP Pulau Pinang berkali-kali berjanji untuk tidak menaikkan tarif air.

“Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang seharusnya lebih bertimbang rasa dengan masalah sara hidup yang sedang dihadapi rakyat Pulau Pinang,’’ jelasnya.