Menurut pakar kewangan, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, hal ini kerana mengambil kira dari sudut kos perbelanjaan dan kesannya kepada kesihatan.

“Namun, ia bergantung kepada faktor akses dan kecukupan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Sekiranya pengguna terbabit tinggal di lokasi yang mempunyai prasarana dan kemudahaan pengangkutan awam yang mencukupi dan memuaskan, maka golongan ini akan menikmati manfaat daripada kos pengangkutan yang lebih menjimatkan berbanding dengan mereka yang memandu.

“Malah mereka tidak perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan memikirkan tentang kos minyak serta bayaran tol yang perlu ditanggung.

“Masa perjalanan boleh digunakan dengan melakukan sesuatu perkara atau aktiviti tanpa perlu menumpukan perhatian kepada jalan raya dan pemanduan,” katanya yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Tambahnya, penduduk di negara maju lebih banyak menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja yang terletak di lokasi jauh kerana kelebihan tersebut. Apatah lagi kemudahan pengangkutan awam mereka lebih efisien.

Malah dalam kajian yang dilakukan sebelum ini juga mendapati mereka yang memandu jarak jauh lebih terdedah dengan risiko penyakit berbanding dengan mereka yang menaiki pengangkutan awam.

“Ramai yang suka menaiki pengangkutan awam kerana lebih santai dan kurang tekanan disebabkan faktor kesesakan di jalan raya. Dengan hati yang senang tanpa menghadapi stres, maka kerja pun mudah dilakukan. Justeru, ini turut mempengaruhi prestasi pekerjaan yang positif.

“Kajian mendapati mereka yang naik pengangkutan awam lebih sihat berbanding dengan yang memandu kerana faktor pertukaran dari stesen ke stesen dan perjalanan ke tempat kerja memerlukan banyak berjalan atau bergerak. Kesan rutin perjalanan ini menjadikan tubuh bertambah sihat,” katanya.