UKM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu menggantikan Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali yang akan tamat tempoh sebagai Naib Canselor UKM pada 31 Disember ini.

“Pelantikan Mohd. Hamdi adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Januari depan sehingga 31 Disember 2021. Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor di UM bermula 2011 sehingga 2014.

“Pelantikan ini adalah menerusi surat dari Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik selaras dengan peruntukan Seksyen 12 (1) Perlembagaan UKM,” ujar kenyataan tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, beliau percaya dengan kecemerlangan dan pengalaman Mohd. Hamdi dalam pentadbiran universiti mampu membawa perspektif baharu kepada UKM.

Menurut beliau, Mohd. Hamdi mampu meningkatkan pretasi UKM dari segi kedudukan, pembangunan insan, kebolehpasaran graduan dan reputasi sebagai universiti nasional. -UTUSAN ONLINE