Jamaludin Basri
JAMALUDIN BASRI

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, Jamaludin Basri, 56, yang merupakan bekas kakitangan Kumpulan Utusan yang sebelum ini berkhidmat di Jabatan Pemasaran di Tebrau, Johor dan anak­nya, Hanis Syahirah, 19, maut di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Rozita Manan, 50, cedera di muka dan kepala manakala dua lagi anaknya, Hanis Humaira, 12, dan Hanis Nazira, 17, masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dekat sini.

Abang ipar Jamaludin, Irawan Hussien, 63, berkata, keluarga ber­kenaan membeli sebuah kereta terpakai Perodua Kelisa pada Khamis lalu bagi membolehkan Hanis Syahirah menggunakannya ketika sesi pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang dekat sini.

“Kereta itu akan dibawa ke UIAM Kampus Gambang apabila Hanis Syahirah memasuki semester tiga yang mana dia kini di semester kedua.

“Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka meninggal dunia dalam kemalang­an semalam. Tidak ada lagi yang boleh kami katakan, itu sudah ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Muadzam Shah di sini hari ini.

Irawan Hussien
IRAWAN HUSSIEN

Irawan berkata, ketika kejadian, arwah Jamaludin yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik bersama ahli keluarga­nya dalam perjalanan ke Kuantan bagi menghantar Hanis Syahirah ke UIAM Kampus Gambang.

Beliau berkata, isteri arwah Jamaludin, Rozita dan dua anak mereka, Hanis Humaira serta Hanis Nazira sedang dirawat di HTAA dan dijaga oleh keluarga isteri arwah.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azly Mohd. Noor berkata, kemalang­an itu melibatkan tiga ken­deraan iaitu Perodua Alza yang dinaiki Jamaludin sekeluarga, Proton Ezora dan sebuah lori tangki.

Katanya, pemandu Pro­ton Exo­ra dikenali sebagai Yusoff, 40, bersama isteri­nya, Farizan Su­bian, 35, dan dua anak mereka, Nur Farisya, 6, serta Muhammad Fariz Izwan, 9, cedera ringan manakala seorang lagi anak Yusoff, Muhammad Zaquwan, 1, tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila pemandu lori tangki, Mohd. Fadzil Mohd. Jailan, 46, yang dalam perjalanan menghala ke Segamat dari Kuantan cuba mengelak sebuah kereta lain yang masuk simpang ke Petronas secara mengejut.