Jika surat ditularkan itu palsu, kenapa pula kementerian berkenaan hari ini memandang serius penyiaran dan penularan dokumen-dokumen rasmi dan akan mengadakan siasatan dalaman bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi?.

Bagaimanapun, Xavier hari ini tidak menafikan kelulusan telah diberi kepada syarikat berkenaan, namun menolak dakwaan ia dilakukan secara tidak telus seperti dilaporkan sebuah portal berita, Sabahkini2.com.

Sebaliknya, beliau berkata, syarikat tersebut perlu mendapatkan lesen mengorek pasir daripada kerajaan negeri terlebih dulu sebelum memohon permit K2 secara dalam talian untuk kebenaran mengeksport pasir.

Bagaimanapun, beliau meng­akui menteri mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan selepas permohonan dinilai oleh sebuah jawatankuasa di kementerian itu.

“Sudah tentu sebarang syarikat yang dicadangkan oleh jawatankuasa untuk diluluskan, menteri mempunyai kuasa untuk meluluskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah oleh Suruhanjaya Per­khid­matan Air Negara (SPAN) kepada Indah Water Konsortium (IWK) di sini hari ini.

Portal berita, Sabahkini2.com mendakwa, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat telah memberikan kelulusan khas AP eksport pasir yang sebelum ini dibekukan kepada empat syarikat kroninya.

Empat syarikat itu ialah Goldland Capital Sdn. Bhd. (Kelantan), Polo Specialist Trading Sdn. Bhd (Pahang), Legacy Les­tari Sdn. Bhd. dan Asal Jasa Sdn. Bhd. (Kelantan).

Dakwa portal itu lagi, kelulusan itu terbukti menerusi surat rasmi bertarikh 29 November 2018 yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri, Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Gerald Sundaraj menggunakan kepala surat Menteri.

Kandungan surat itu yang dipercayai tulen mendedahkan kelulusan eksport pasir itu juga dirundingkan oleh Xavier bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Persoalan juga timbul apabila Xavier dalam sidang akhbar yang sama menafikan perkara itu ada kaitan dengan Perdana Menteri dan menegaskan kelulusan lesen tersebut tidak perlu dibawa ke Kabinet.

“Tidak ada permohonan lesen perlu dibawa ke Kabinet, saya rasa mereka yang tulis perkara itu perlu tahu prosedur bagaimana kelulusan dibuat,” katanya.