Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbuatan mengibarkan dan menyanyikan lagu UMNO oleh murid di sekolah berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena sambutan kemerdekaan negara ke-60.

Katanya, pihak sekolah menjadikan perbuatan tersebut sebagai sebahagian daripada elemen sambutan kemerdekaan yang bertujuan menerangkan perjalanan penduduk Tanah Melayu dalam mendapat kemerdekaan.

“Kebetulan kemerdekaan yang dimiliki pada hari ini adalah hasil perjuangan UMNO bersama MCA dan MIC. Semua tahu bahawa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Pre­siden UMNO telah pergi ke London untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada British.

“Jadi tiada apa yang luar biasa atau aneh (mengibarkan dan me­nyanyikan lagu UMNO),” katanya ketika ditemui selepas melawat lapan rumah warga emas yang uzur sempena program Ziarah Kasih Pusat Daerah Mengundi (PDM) Padang Sanai di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu murid mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu UMNO dalam program kemerdekaan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1), Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Mahdzir, pembangkang tidak perlu menjadikan ak­tiviti pengisian program kemerdekaan di sekolah berkenaan sebagai isu politik sedangkan mereka tahu kemerdekaan negara ini adalah hasil perjuangan UMNO, MCA dan MIC.

Dalam perkembangan lain, be­liau menyifatkan hukuman buang sekolah kepada pelajar bermasalah yang dipraktikkan selama ini masih relevan berikutan tindakan itu hanya dikenakan sebagai jalan terakhir selepas beberapa langkah awal diambil.

“Hukuman buang sekolah di­kenakan sekiranya pelajar me­lakukan kesalahan disiplin yang maksimum. Tetapi sebelum itu, pihak sekolah akan bagi amaran, panggil ibu bapa bagi mencari jalan terbaik sebelum tindakan buang sekolah dikenakan.

“Oleh itu, saya tidak melihat perlu adanya kelas pemulihan untuk pelajar bermasalah ini. Tambahan pula mulai tahun depan lebih banyak sekolah akan mempunyai program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA),” ujarnya.

Jelasnya, program itu membolehkan pelajar tingkatan empat dan lima hadir ke sekolah hanya dua hari dan selebihnya pembelajaran dalam industri.