Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Zahari Ibrahim berkata, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali dan pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.

“Saya merujuk kenyataan oleh Naib Presiden PAN, Husam Musa dalam nota bantahan dan surat yang ditujukan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tentang mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan yang diadakan hari ini.

“Dakwaan itu kononnya ada kelulusan baharu kawasan pembalakan yang luas akan dipertimbangkan dalam mesyuarat hari ini. Ia adalah tidak benar sama sekali. Oleh itu, kami memandang serius dakwaan palsu berkenaan dan akan membuat laporan polis mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Terdahulu, Husam hadir ke pejabat berkenaan bagi menyerahkan notis bantahan berkaitan perkara itu. – UTUSAN ONLINE