Pengerusi Peladang Nita Pahang, Datuk Nazilah Abd Latif berkata, Nafas memerlukan tenaga kerja yang ramai dan berkebolehan serta berminat dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian kerana skop bidangnya yang meluas.

"Apabila menyebut tentang Nafas , masyarakat akan membayangkan sektor pertanian iaitu bercucuk tanam walhal kami mempunyai pelbagai bidang yang memerlukan kepakaran seperti kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan sains makanan.

Antara pekerjaan yang boleh diisi oleh golongan muda ialah di bahagian teknikal, operasi kilang baja dan pemprosesan makanan manakala aspek perdagangan pula salah satunya memerlukan tenaga kerja dalam urusan mengimport baja kimia," katanya.

Nazilah berkata, demikian pada sidang media di Majlis Penutup Program Kemuncak Kerjaya 2017 di Kolej Vokasional Alor Akar di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar Nafas Modal Insan Sdn Bhd Saharudin Mohd. Dan.

Sejumlahi 500 pelajar menyertai program itu, yang bertujuan memberikan pendedahan kepada anak muda mengenai peluang yang terbuka kepada mereka untuk menyertai pertubuhan peladang kawasan di tempat masing-masing.

Nazilah yang juga Anggota Jemaah Pengarah NAFAS berkata, pihaknya turut bersedia memberikan bantuan kepada golongan muda yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi terutamanya dalam kalangan anak peladang.

"Kita mahu memperkenalkan NAFAS sebagai satu entiti yang dekat dengan masyarakat bukan sahaja terhad kepada golongan petani bahkan orang biasa.

Ini kerana NAFAS dapat memberi manfaat kepada mereka apabila mendaftar menjadi ahli menerusi pegangan saham yang memberikan dividen setiap tahun selain berpeluang menceburi perniagaan dengan modal serta bimbingan lengkap," katanya. - BERNAMA