Presidennya, Jufitri Joha berkata, ini menunjukkan kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia dikenali sebagai negara berintegriti dan bukannya rasuah.

Katanya, MBM juga ingin melihat negara terus melonjak naik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) daripada tangga 61 pada tahun 2019 ke tangga yang lebih baik pada masa hadapan hasil daripada keseriusan menterjemahkan NACP ke dalam bentuk tindakan.

“MBM juga ingin memuji usaha pembentukan NACP dengan menggunakan tenaga pakar dalaman di mana dapat menjimatkan wang Kerajaan dan membuktikan bahawa Negara tidak tandus daripada mempunyai ‘local genius’ (kearifan tempatan).

NACP 2019-2023 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya dekat sini hari ini.

Pelan itu bertujuan menangani isu-isu pentadbiran, integriti dan antirasuah secara menyeluruh.

Tambah Jufitri, MBM akan terus mendokong NACP sambil memperkukuhkan peranan mendidik belia dan masyarakat menjauhi rasuah dan membudayakan integriti.

“MBM menggalakkan agar pemimpin belia membaca dokumen NACP ini dan bersama-sama kerajaan melaksanakannya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE