Pelakon itu dinikahkan sendiri oleh bapanya, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search, 57, sambil disaksikan oleh jurunikah Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Khairuddin Haiyon.

Nabila yang ditemui selepas majlis akad nikah berkata, pintu hatinya terbuka untuk menerima Mohd. Izwan selepas melihat sikapnya yang baik dan penya­yang.

“Keputusan untuk bernikah dibuat selepas dua tahun sete­ngah kami berkenalan. Mengenali Mohd. Izwan dalam tempoh masa tersebut membuatkan saya bertambah yakin bahawa dia mampu menjadi seorang suami yang baik.

“Bukan saya terlalu berahsia mengenai hubungan cinta saya dan Mohd. Izwan sebelum ini, tetapi saya lebih senang sebenarnya untuk berkongsi selepas kami mempunyai ikatan yang sah,” katanya.

Dalam majlis pernikahan itu, Nabila Huda menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala nilai wang hantaran dirahsiakan.

Pasangan itu akan mengadakan majlis kenduri perkahwinan mereka esok di Seksyen 19 di sini.

Dalam pada itu, sebagai bapa, Amy mengharapkan perkahwinan kali kedua anaknya itu kekal bahagia sampai bila-bila.

“Saya sentiasa menyambut kehadiran Mohd. Izwan ke dalam keluarga kami dengan tangan yang terbuka. Doa saya juga supaya mereka dapat melalui fasa perkahwinan ini dengan baik,” jelasnya.

Sebelum ini, Nabila pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani, 34, namun mereka bercerai pada 2011 selepas tiga tahun bersama.

Hasil perkahwinan itu, mereka mendapat seorang anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia lima tahun.